BAGAIMANA MAHATHIR MEMPERKUDA INSTITUSI KEHAKIMAN?

Sejak kebelakangan ini, Dr Mahathir sering mengajak rakyat Malaysia supaya jangan meragui mahkamah dalam membicarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau juga dilaporkan sebagai berkata "mahkamah Malaysia tidak terikat dengan kerajaan, malah dalam banyak hal telah membuat keputusan yang tidak memihak kepada kerajaan" (Utusan Malaysia 16 Oktober 1998).

Mari kita kaji kenyataan beliau ini. Dari segi teori memang wujud apa yang dikatakan doktrin pengagihan kuasa atau separation of power antara tiga intitusi utama di negara ini, iaitu (a) institusi legislatif atau Parlimen, (b) institusi eksekutif yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri; dan (c) institusi kehakiman yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Dari segi teori, ketiga-tiga institusi tersebut berfungsi untuk mengimbangi antara satu sama lain, atau check and balance kalau-kalau ada penyalahgunaan atau penyelewengan kuasa. Doktrin pengagihan kuasa ini diamalkan di kebanyakan negara merdeka berdasarkan kepada falsafah perundangan moden. Doktrin ini diperkenalkan supaya tidak berlaku kezaliman dan kediktatoran di dalam sesebuah negara.

Di Malaysia selain daripada ketiga-tiga institusi itu, perlembagaan persekutuan menetapkan bahawa Yang Di Pertuan Agung merupakan ketua negara menggunakan konsep Raja Berpelembagaan. Sebagai Yang Di Pertuan Agung, Baginda mempunyai hak untuk melantik ketua ketiga-tiga institusi utama iaitu Parlimen, Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara.

Itu teorinya. Tapi amalannya seringkali tidak sedemikian bergantung kepada keadaan dan pengaruh seseorang Perdana Menteri. Seringkali berlaku separation of power tidak sebagaimana yang sepatutnya diamalkan. Hal ini bukan baru. Isu ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam banyak buku, makalah dan seminar undang-undang. Buku yang baik yang boleh anda rujuk dalam hal ini ialah seperti:

· Tun Salleh Abas & Das K., May Day for Justice (1989)

· H.P. Lee, Constitutional Conflicts in Contemporary Malaysia (1995)

· Peter Alderidge Williams, Judicial Misconduct (1990).

Buku yang terbaru dan pasti sensasi ialah tesis Ph.D. (Universiti London) oleh Datuk Dr. Rais Yatim tentang kebuasan kuasa eksekutif atau executive supremacy. Sebagai bekas Menteri dan kemudian tokoh pembangkang yang "masak" tentang perjalanan perundangan di negara ini, Rais mempunyai banyak fakta betapa zalimnya Mahathir sebagai ketua eksekutif. Dalam buku itu Rais membuat rumusan bahawa Mahathir ialah diktator yang menyalahgunakan kuasa sewenang-wenangnya atas nama undang-undang (rule by law instead of rule of law).

Kesemua buku ini menceritakan dengan terperinci bagaimana Mahathir sebagai ketua institusi eksekutif telah menyalahgunakan seluruh kuasanya untuk mengarah dan memperbodohkan institusi kehakiman. Mahathir turut mengurangkan kuasa Raja Berpelembagaan pada 1983 dan sekali lagi pada 1993. Kedua-dua insiden itu adalah tragedi yang besar sekali kesannya kepada kedaulatan bangsa Melayu kerana selepas pindaan perlembagaan 1993, hampir tidak ada lagi kuasa yang tinggal pada Raja-Raja. Pendek kata Raja-Raja tidak lebih seperti boneka. Kalau berlaku pemindahan kuasa dari tangan politikus Melayu kepada kaum lain, Raja tidak lagi boleh mempertahankan kedaulatan dan hak Melayu. Memang ini suatu yang diinginkan oleh Mahathir kerana dari kecil lagi beliau memang anti budaya dan adat istiadat Melayu termasuk Raja-Raja Melayu. Buktinya baca buku Malay Dilemma.

Kalau kuasa Raja boleh dikurangkan, mudah sangat bagi Mahathir untuk mengurangkan kuasa pada institusi utama yang lain. Ramai di antara kita masih belum lupa bagaimana Mahathir menyerang dan melumpuhkan institusi kehakiman menerusi isu penyingkiran Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara. Penyingkiran tersebut berpunca selepas beberapa keputusan penghakiman yang tidak memihak kepada kerajaan. Ini terbukti dalam kes pengharaman UMNO pada 1987, kes Berthelsen vs. Director General of Immigration 1986, kes Ling Kit Siang dan UEM, 1987. Dalam ketiga-tiga kes tersebut Kerajaan telah kalah dalam kesnya di Mahkamah Agung. Ini menyebabkan Mahathir berang lalu bertindak ganas. Mahathir mahu memastikan untuk masa-masa berikutnya supaya apa sahaja keputusan mahkamah akan memihak kepada kerajaan. Oleh itu langkah drastik harus diatur.

Ini dimulai dengan usaha Mahathir mencari kesilapan institusi kehakiman. Mahathir juga mengawasi beberapa orang hakim yang dari segi keputusan penghakiman dalam beberapa kes yang tidak pro kerajaan. Tetapi disebabkan tidak ada kes, maka Mahathir dengan bantuan Peguam Negara dan Ketua Hakim (Malaya) membuat pakatan jahat dengan mengemukakan tuduhan palsu dan membawa Tun Salleh ke Tribunal untuk disingkirkan daripada jawatannya. Sebagai rakyat Malaysia yang bijaksana anda bolehlah membaca buku-buku yang disebutkan di atas. Lihatlah bagaimana fitnah, pembohongan dan fabrikasi yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Salleh Abas. Semua pertuduhan itu direka-reka. Prosidur tribunal tidak mengikut prosidur konvensional. Jemaah hakim tribunal yang dilantik juga tidak ada kewibawaan. Yang paling jelas kesilapan fabrikasi tersebut ialah tarikh Mesyuarat Jemaah Kabinet untuk membincangkan isu Tun Salleh ialah 1 Mei 1988. Sedangkan tarikh tersebut ialah hari Ahad dan cuti am pula iaitu Hari Buruh!

Tetapi Mahathir terlalu berkuasa - dan malang bagi Tun Salleh serta sistem keadilan negara ini - maka Tun Salleh "didapati bersalah". Kita simpati dengan Tun Salleh. Itulah yang dilakukan oleh Mahathir dengan bantuan beberapa orang penting dalam kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan Pemangku Ketua Hakim Negara ketika itu.

Walau bagaimanapun, Tun Salleh masih mempertahankan maruahnya bahawa beliau difitnah dan dianiaya oleh regim Mahathir. Ini jelas dalam buku May Day For Justice. Sehingga kini Mahathir dan juak-juaknya tidak berani membawa buku-buku tersebut ke mahkamah. Buku-buku itu merakamkan apa yang sebenarnya berlaku dalam kes Tun Salleh. Buku itu turut merakamkan bagaimana mahkamah dan Tribunal digunakan untuk kepentingan regim Mahathir. Perlu disebutkan juga bahawa dalam sejarah kehakiman dunia hanya dua insiden sahaja Ketua Hakim dipecat. Pertama, pada tahun 1616 di England; dan kedua di Malaysia pada tahun 1988. Agaknya inilah semangat "Malaysia Boleh"!

Kita ingin mencabar Mahathir jika Mahathir tidak bersalah sebagaimana yang didakwa oleh Salleh Abas dalam bukunya itu, ambil tindakan mahkamah terhadap Tun Salleh! Jika Mahathir tidak berani berbuat demikian, maka kita terpaksa menjatuhkan hukuman bahawa Mahathir ialah penipu besar, penfitnah dan pembohong yang paling kejam sebagaimana yang sedang dilakukannya dalam kes Anwar Ibrahim. Mahathir akan terpahat dalam sejarah bangsa moden sebagai diktator yang menggunakan kuasa dengan rakus memperalatkan undang-undang untuk terus berkuasa dan mengaut segala keuntungan dan kekayaan untuk dirinya, keluarga dan kroni-kroninya yang sentiasa dahagakan wang, kuasa dan tahta!!!

Dalam keadaan ini bagaimana kita hendak menyakini kebenaran dan kesahihan siasatan Polis (yang bertanggungjawab kepada Mahathir), dakwaan oleh Peguam Negara (yang bertanggungjawab terhadap Mahathir), dan penghakiman mahkamah (yang juga bertanggungjawab terhadap Mahathir) terhadap Anwar Ibrahim???