SUARA DARI PENJARA :

Anwar Bidas Mahathir Dan Membuat Seruan Reformasi.

KUALA LUMPUR, Okt 17 (AFP) - Bekas Tim. Perdana Menteri yang kini direman membidas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan membuat satu seruan baru ke arah reformasi.

Anwar, yang baru dibebaskan dari tahan ISA tetapi masih disimpan di penjara sementara menunggu kesnya di mahkamah, mengeluarkan satu kenyataan bertulis pertama di sini semenjak ditangkap 20 September lalu.

Beliau berkata bahawa pembebasannya dari ISA hanya satu "gimik" oleh Mahathir untuk mengelakkan kemarahan rakyat serta reaksi masyarakat dunia di persidangan APEC yang akan diadakan bulan depan.

"Rancangan mereka ialah untuk mengeluarkan saya dari ISA sebelum APEC bermula," katanya di dalam kenyataan yang dibacakan oleh isterinya di persidangan akhbar di rumahnya.

"Malah, ini tindakan yang mengecewakan Mahathir yang terpaksa dilakukan, untuk mengekalkan kuasa dan memegang tampuk pemerintahan demi untuk menyelamatkan keluarga dan kroni-kroninya."

Anwar menambah, "histeria yangada kini" di kalangan politikus Malaysia terhadap kenyataan pemimpin-pemimpin dunia yang menyokong beliau adalah satu petanda takut kehilangan jawatan yang amat mendalam di kalangan politikus Malaysia meskipun mereka terpaksa menelan kepahitan menyembunyikan kebenaran.

Dia membidas penggunaan ISA yang memperuntukkan penahanan tanpa perbicaraan, dengan bertopengkan alasan menjaga keselamatan negara.

"Cara-cara yang sah untuk menuntut keadilan oleh rakyat telah dibalas dengan cara yang paling zalim yang lazimnya digunakan untuk menentang komunis. Ini sekali lagi menunjukkan kekecawaan Mahathir untuk menggunakan apa juga cara di dalam mempertahankan kuasanya."

 "Layanan yang diberikan kepada tahanan-tahan amat tidak berperi kemanusiaan, termasuk mengurung mereka di bilik tertutup dan memaksa tahanan membuat kenyataan yang disediakan sebagai syarat untuk dibebaskan," katanya lagi.

"ISA bukan lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri, tetapi Keselamatan Mahathir," tambah beliau.

Bekas Tim. Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu menyatakan gambar yang ditunjukkan kononnya sedang menghadap juadah makanan lazat di ibu pejabat Bukit Aman yang baru lalu adalah "berniat jahat dan menelirukan".

"Walhal, itulah hari pertama saya diberikan hidangan sedemikian di Bukit Aman."

"Hari-hari sebelumnya, makanan yang diberikan amat tidak menyelerakan dan dibungkus di dalam plastik," katanya dan menambah bahawa beliau tidak hairan mengapa beliau telah kehilangan berat sebanyak lapan kilogram (18 paun) sewaktu berada di penjara.

Anwar menghargai "sikap persahabatan dari kebanyakan pegawai polis di dalam melayannya" dan "ramai yang benci dengan Mahathir serta cara diktatornya."

Beliau berkata bahawa penahanannya itu adalah untuk melemahkan gerakan beliau dan "tindakan zalim yang dilakukan ke atas saya sewaktu di dalam tahanan adalah petanda amaran dari Mahathir dan Ketua Polis Negara bahawa mereka tidak bertolak ansor dalam hal reformasi."

"Mereka silap. Masa ini ialah masa untuk perubahan. Saya akan terus menyeru reformasi dilakukan di dalam kerajaan untuk mempastikan adanya peraturan undang-undang dan demokrasi. Mesti ada titik akhir bagi penyalahgunaan badan-badan kerajaan," kata Anwar.

"Kita mesti bersihkan negara kita dari rahsuah, kronisma dan nepotisma. Kita mesti selamatkan negara dari diperalatkan oleh sebahagian individu yang tugasnya menggunakan ekonomi untuk mengumpul kekayaan masing-masing."

Anwar berkata bahawa dia sedar tentang "ketakutan dan keengganan ramai dari kalangan pemimpin untuk mengeluarkan pandangan mereka, demi untuk menjaga kepentingan peribadi dan untuk mengelakkan tindakan dari seorang diktator."

Tetapi beliau menyeru mereka untuk mendengar hasrat rakyat "sebelum terlambat".

"Rakyar mempunyai kesedaran dan kekentalan jiwa untuk meneruskan perjuangan tetapi pemimpin mesti punya keberanian untuk menerima," tergas beliau.

Anwar mendakwa bahawa kerajaan akan terus memperalatkan media untuk "memalsukan keadaan sebenar dan ketegangan semasa yang berlaku di dalam negara."

"Media yang dikawal kerajaan kini kehilangan kredibiltinya. Ini menjadi sebab mengapa media alternatif dan Internet menjadi begitu popular," tambahnya.