Make your own free website on Tripod.com

Sukma, Munawar tarik balik pengakuan salah

Beri notis merayu terhadap keputusan mahkamah

 

KUALA LUMPUR -- Dua lelaki yang disabitkan bersalah kerana diliwat oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memutuskan untuk menarik balik pengakuan bersalah mereka dan membuat rayuan terhadap sabitan (conviction) kesalahan mereka, menurut para peguam.

Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 37 tahun, dan Dr Munawar Ahmad Anes, 51 tahun, tidak lagi berpegang pada pengakuan bersalah yang mereka buat, dan semalam mendaftarkan rayuan di Mahkamah Tinggi supaya membatalkan sabitan dan hukuman penjara ke atas mereka, ujar para peguam yang enggan nama mereka didedahkan itu.

Pada 19 September lalu, Sukma, adik angkat Datuk Seri Anwar, dan Dr Munawar, bekas penulis ucapan beliau, masing-masing mengaku salah diliwat oleh beliau dan dihukum penjara enam bulan.

Para peguam memberitahu agensi berita Reuters bahawa kedua-duanya kini telah memutuskan untuk membuat rayuan.

"Rayuannya adalah terhadap sabitan dan hukuman," kata seorang peguam yang terlibat dalam kes itu.

Ditanya sama ada mereka menarik balik pengakuan bersalah mereka, seorang peguam berkata: "Mereka kini berkata pengakuan bersalah itu bukan dibuat secara rela."

Datuk Seri Anwar, yang semalam dikenakan lima tuduhan rasuah dan empat tuduhan salah laku seks di luar tabii, telah berkata beliau percaya bahawa Sukma dan Dr Munawar dipaksa mengaku bersalah dan mereka tidak diwakili oleh peguam pilihan mereka semasa dibicarakan.

Mereka telah menukar peguam. -- Reuters.