Make your own free website on Tripod.com

Saya akan terus menentang sikap munafik Dr. M

Kenyataan Akhbar Saifudin Nasution

Bangkok: 8 Oktober 1998

Sahabat-sahabat saya dalam negara telah memaklumkan kepada saya bahawa keahlian UMNO saya dan beberapa rakan yang mendukung Gerakan Reformasi telah digugurkan. Keputusan tersebut tidak sekalipun memeranjatkan.

Atas nama prinsip saya tidak akan merayu. Saya juga tidak berasa kecewa. Bagi saya UMNO hanyalah satu wadah perjuangan. Saya akan berjuang dengan menggunakan wadah yang lain, dan mungkin ianya lebih berkesan dan saya lebih mudah bergerak.

Saya akan terus berjuang untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan kebebasan. Saya akan terus menentang dan mendedahkan sikap munafik Dr. Mahatir Mohamad, seorang pemimpin yang menghina UMNO, orang Melayu dan Islam dengan mencarut dalam sidang akhbar yang disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia.

Apakah orang Melayu dan umat Islam mahu terus dihina oleh seorang pemimpin nyanyuk?

Saya merayu kepada bonda Siti Hasmah Mohd Ali agar menasihatkan suaminya jangan terus menambah dosa. Memfitnah itu dosa besar. Memaksa orang membuat saksi palsu juga dosa yang besar. Kalau sayangkan suami, janganlah sekadar sayangkan batang tubuhnya di dunia. Fikirkan nasib dan roh suami tersayang di dalam kubur dan di dalam akhirat.

Saya tidak mengatakan Dr. Mahathir akan mati lebih awal dari saya. Mungkin saya akan mati lebih awal, justeru itu saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya dan guru-guru saya yang mendidik saya agar patuh kepada perintah agama.

Tiada yang lebih pasti bagi setiap yang bernyawa kecuali kematian. Dan Dr. Mahathir hanya tinggal sisa-sisa hayatnya. Kita pula mendengar sejak akhir-akhir ini tekanan darah beliau meningkat dan tidak mahu turun. Bertaubatlah. Mintalah maaf dari Saudara Anwar, Dr. Harun Din dan Ishak Baharum.

Sebagai langkah pertama untuk bertaubat Dr. Mahathir perlu letak jawatan dari semua jawatan parti dan kerajaan.

Saifudin Nasution Ismail